B. R. 0

ISU PERPINDAHAN PELAJAR PASCASISWAZAH (SARJANA DAN KEDOKTORAN), FAKULTI PERAKAUNAN KE KAMPUS PUNCAK ALAM

90 people have signed. Add your voice!
9%
Maxine K. signed just now
Adam B. signed just now

Assalamualaikum.

Yang Berbahagia Tan Sri,

Dengan segala hormat dan sukacitanya kami merujuk pihak Y. Bhg Tan Sri terhadap perkara di atas.

2. Sepertimana kita sedia maklum, pihak UiTM telah berjaya mancapai taraf pembangunan yang pesat semenjak ia ditubuhkan, sejajar dengan perancangan Wawasan 2020. Pencapaian daripada segi pembangunan akademik dan infrastruktur untuk kepentingan rakyat, khususnya pelajar bumiputera telah dibuktikan dengan penubuhan kampus induk UiTM Puncak Alam, Selangor, beserta beberapa kampus cawangan baru di seluruh Malaysia. Kami akui bahawa ia merupakan pencapaian cemerlang oleh pihak UiTM, terutamanya di bawah kepimpinan Y. Bhg. Tan Sri yang sentiasa prihatin terhadap pencapaian serta kebajikan pelajar dan kakitangan.

3. Kami yakin bahawa pembukaan kampus induk UiTM di Puncak Alam telah disusun atur mengikut pelan perancangan yang sangat strategik dan dinamik. Pelajar prasiswazah telah mula dipindahkan ke kampus Puncak Alam pada semester ini, manakala kampus Shah Alam akan dijadikan pusat pentadbiran dan kampus pelajar pascasiswazah (Sarjana dan Kedoktoran) serta pelajar jurusan profesional.

4. Dalam kesempurnaan perancangan tersebut, kami telah menerima perkhabaran tidak rasmi yang mengatakan bahawa kesemua pelajar pascasiswazah Fakulti Perakaunan akan mula dipindahkan ke kampus Puncak Alam pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Kami sebagai warga pelajar sentiasa menyokong sebarang perubahan perancangan pihak UiTM kerana setiap perancangan yang teliti dan bernas dengan izin Allah pasti akan membawa kebaikan untuk semua pihak. Kami berpendapat bahawa perpindahan ini tidak mempunyai alasan dan agenda yang munasabah kerana apa yang telah dirancang sebelum ini telah berjalan dengan baik, tanpa sebarang cacat cela. Jadual konsultasi dan pembelajaran kami bersama para pensyarah juga telah berjalan dengan lancar. Kesemua perancangan bagi pelajar pascasiswazah di fakulti ini juga berjalan dengan baik dan teratur, walaupun terdapat pensyarah yang terikat dengan sesi pembelajaran pelajar prasiswazah di Puncak Alam.

5. Oleh sebab itu, kami warga pelajar pascasiswazah ingin merayu dan memohan jasa baik Y. Bhg Tan Sri untuk menimbang semula rancangan perpindahan di atas sebab- sebab yang kami berasa amat penting demi kemudahan pembelajaran dan kebajikan warga pelajar secara amnya seperti berikut:-

i) Lokasi UiTM Shah Alam yang berada di tengah pusat bandar memudahkan warga pelajar untuk hadir ke kelas dan konsultasi bersama para pensyarah. Kemudahan prasarana awam yang sedia ada seperti bas, teksi dan komuter sudah pasti memudahkan jadual perjalanan dan juga membolehkan para pelajar untuk mengulangkaji pelajaran di kampus hingga lewat malam. Tambahan pula, bukan semua pelajar pascasiswazah di fakulti ini menetap di Shah Alam. Terdapat sebilangan yang menetap di kawasan yang tidak jauh dari kampus Shah Alam seperti Putrajaya, Gombak, Kajang, Subang dan Kuala Lumpur, manakala ada juga pelajar yang pada ketika ini terpaksa berulang alik dari luar Selangor bagi menghadiri kelas di kampus Shah Alam, seperti dari Johor Bharu, Melaka dan Kuantan. Sistem pengangkutan awam pula dilihat kurang memuaskan di kampus Puncak Alam kerana kami dimaklumkan bahawa kemudahan awam di kawasan Puncak Alam masih lagi terhad dan ini akan menyukarkan kebanyakan warga pelajar yang menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Oleh itu, kos perjalanan setiap hari untuk berulang-alik ke kampus Puncak Alam pasti akan membebankan semua pelajar pascasiswazah fakulti ini.

ii) Faktor keselamatan di kawasan persekitaran Puncak Alam masih belum terjamin. Seperti yang Y. Bhg Tan Sri ketahui, kebanyakan pelajar pascasiswazah hanya hadir ke kelas pada hujung minggu dan kesempatan ini akan digunakan oleh kami untuk diskusi berkumpulan sehingga berlarutan ke waktu malam. Bandar Shah Alam yang pesat, bercahaya dan di kelilingi kawasan perumahan memberi rasa lebih selamat berbanding dengan kawasan di Puncak Alam yang masih sedang membangun. Bagi warga siswi yang menggunakan kemudahan awam atau memandu sendirian pada waktu malam, terutamanya bagi warga pelajar yang menunggang motosikal, keadaan yang sunyi dan jauh dari kawasan orang awam boleh mendedahkan kami kepada kejadian jenayah.

iii) Kami yakin pihak UiTM akan sentiasa berusaha untuk memberi kemudahan pembelajaran yang paling baik kepada semua warga pelajar seperti kemudahan infrastruktur internet, pengkalan data, jurnal dan bahan rujukan. Namun, faktor fasiliti yang masih berada di bawah tahap yang kurang memuaskan di kampus Puncak Alam juga menjadi salah satu sebab mengapa kami tidak bersetuju dengan cadangan perpindahan ini. Dengan kemudahan yang telah sedia ada di kampus Shah Alam, kami berasa adalah perlu jika sesi pembelajaran kami dikekalkan di kampus Shah Alam. Infrastruktur internet yang kurang memuaskan, kekurangan jurnal dan bahan rujukan serta pengkalan data di kampus Puncak Alam yang masih di bawah proses pembaikan dan belum beroperasi dengan kualiti yang sama terdapat di kampus Shah Alam akan memperlahankan proses pembelajaran dan kemajuan kami dalam kajian masing-masing. Ini adalah kerana sebagai pelajar sains sosial, kami amat bergantung kepada fasiliti tersebut dalam melengkapkan kajian dan seterusnya menjadi graduan dalam tempoh masa yang ditetapkan, ataupun ‘Graduate on Time’, yang acap kali menjadi sebutan sejak kebelakangan ini.

6. Sekiranya cadangan perpindahan tersebut dilaksanakan, ianya bererti kita telah menongkah arus dan berundur semula satu tapak ke belakang. Sekiranya universiti lain seperti UUM, UTM dan beberapa IPTA lain mengambil inisiatif bagi menempatkan pelajar pascasiswazah mereka di kawasan tumpuan bandar dengan pelbagai kemudahan bagi memudahkan pelajar dan memberi keselesaan kepada para pelajar mereka. Tetapi, kenapa kami pelajar pascasiswazah perlu ditolak ke kawasan luar bandar? Kami pelajar pascasiswazah Fakulti Perakaunan amat tidak bersetuju dengan perpindahan ini, dan ada segelintir daripada kami akan mula memikirkan untuk menamatkan pengajian jika cadangan ini diteruskan.

7. Akhir sekali, kami merasakan bahawa perpindahan pelajar pascasiswazah ke kampus Puncak Alam akan turut mempengaruhi kemasukan pelajar baru pascasiswazah Fakulti Perakaunan di masa hadapan. Ini kerana salah satu faktor yang menyebabkan bakal pelajar pascasiswazah dan organisasi luar berminat untuk menggalakan kakitangan mereka melanjutkan pengajian pascasiswazah di UiTM adalah kerana lokasi kampus Shah Alam yang strategik dengan pelbagai kemudahan. Dengan perpindahan ini, populariti UiTM di kalangan organisasi awam atau swasta di Malaysia sebagai hub pengajian pascasiswazah dilihat mampu terjejas. Sehubungan dengan itu, kami meminta jasa baik Y. Bhg. Tan Sri untuk menimbang semula cadangan untuk memindahkan pelajar pascasiswazah Fakulti Perakaunan daripada kampus Shah Alam ke kampus Puncak Alam.

8. Bersama dengan surat ini, dilampirkan senarai pelajar yang tidak bersetuju dengan cadangan pihak pengurusan fakulti untuk memindahkan pelajar pascasiswazah daripada kampus Shah Alam ke kampus Puncak Alam. Kerjasama dan pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak Y. Bhg. Tan Sri amatlah kami hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Pelajar Pascasiswazah

Fakulti Perakaunan

UiTM Shah Alam

Share for Success

Comment

90

Signatures