Skip to main content
Projek Suara Desa Mentari

Projek Suara Desa Mentari

1 signature 49 to reach 50
R
rubini v. signed 19 hours ago
NM
Started by Norzulaika Mohd Latiff 20 hours, 18 minutes ago

9 TUNTUTAN UTAMA PENDUDUK DESA MENTARI

1. Ambang Persetujuan Sejagat Ditetapkan pada 90%

  • Menolak sebarang cadangan menurunkan ambang persetujuan kepada 80% atau lebih rendah.
  • Ambang persetujuan bagi sebarang jualan en-bloc atau pembangunan semula mesti ditetapkan sekurang-kurangnya 90% bagi semua strata kediaman tanpa mengira usia bangunan, demi melindungi pemilik minoriti dan warga rentan daripada pengambilan tanah secara paksa di bawah Seksyen 21(4).

2. Jaminan Rumah Penggantian 1-ke-1 & Tanpa Diskriminasi

  • Pemilik asal mesti dijamin unit penggantian sepenuhnya di atas tapak asal (strictly on-site rehousing di lot tanah Desa Mentari yang sama) bernilai sifar kos modal bersih, dengan keluasan lantai sekurang-kurangnya 900 kaki persegi. Cadangan pemindahan ke tapak luar atau lokasi asing adalah dilarang sama sekali.
  • Mengkodifikasikan jaminan tanpa diskriminasi berasaskan latar belakang, etnik, atau asal usul penduduk dalam pengagihan unit penggantian.

3. Penanggungan Penuh Kos Perundangan, Duti Setem & Pindah Milik (MOT)

  • Pihak pemaju diwajibkan menanggung sepenuhnya (100%) semua yuran guaman (legal fees) bagi pelantikan peguam bebas yang mewakili kepentingan pemilik asal.
  • Pihak pemaju diwajibkan membayar kesemua duti setem (stamp duty) bagi perjanjian pembangunan semula serta urusan Surat Cara Pindah Milik (Memorandum of Transfer - MOT) bagi penyerahan hak milik strata baharu tanpa sebarang kos terselindung kepada pemilik.

4. Subsidi Yuran Penyelenggaraan oleh Pemaju (10–15 Tahun)

  • Pemaju diwajibkan menyalurkan sebahagian Nilai Pembangunan Kasar (GDV) ke dalam Dana Amanah Penyelenggaraan untuk menyubsidi atau menghadkan kadar yuran penyelenggaraan bulanan bagi pemilik asal untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun pasca-pembangunan semula.

5. Penanggungan Kos Pemindahan & Subsidi Sewa Rumah Sementara (Minima RM3,000 Sebulan & Radius 10km)

  • Pihak pemaju diwajibkan menanggung secara keseluruhan (100%) kos logistik pemindahan pergi dan balik bagi semua penduduk terjejas.
  • Pihak pemaju diwajibkan membayar subsidi sewa rumah sementara pada kadar minima sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan kepada setiap isi rumah sehingga unit baharu siap sepenuhnya dan penyerahan kunci serta Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) disempurnakan.
  • Rumah penempatan sementara yang disewa hendaklah berada dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (10km)dari tapak asal Desa Mentari.
  • Tempoh pelaksanaan dan pembinaan projek pembangunan semula hendaklah ditetapkan secara tegas supaya tidak melebihi 3 tahun (36 bulan).
  • Sekiranya pemaju lewat menyerahkan kunci melepasi tempoh 36 bulan tersebut, penalti ganti rugi kelewatan (LAD) wajib dibayar kepada pemilik pada kadar 10% setahun berdasarkan nilai pasaran semasa unit baharu yang dikira bagi setiap hari kelewatan, di samping bayaran subsidi sewa RM3,000 sebulan yang mesti diteruskan secara berasingan tanpa sebarang potongan.

6. Penilaian Skoring Bebas oleh KPKT & Syarat Umur Bangunan Minima 20 Tahun

  • Penilaian kelayakan pelaksanaan pembaharuan semula bandar (URA) mestilah dikendalikan secara rasmi oleh Badan Penilaian Khas di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berdasarkan kriteria keselamatan fizikal serta kebolehdiaman, dan bukannya ditentukan oleh pihak pemaju swasta.
  • Hanya kawasan kediaman atau pangsapuri yang telah mencapai usia sekurang-kurangnya 20 tahun sahaja dibenarkan untuk memulakan dan melalui proses penilaian skoring URA ini.

7. Peruntukan Minima Dua (2) Petak Tempat Letak Kereta bagi Setiap Unit

  • Pihak pemaju diwajibkan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua (2) petak tempat letak kereta bertingkat bagi setiap satu unit kediaman penggantian tanpa sebarang kos atau bayaran tambahan.
  • Petak tempat letak kereta berkenaan hendaklah dimaktubkan secara rasmi sebagai petak aksesori yang terikat secara sah di bawah hak milik strata kediaman pemilik masing-masing.

8. Penyediaan Fasiliti Awam & Kemudahan Komuniti Lengkap

  • Pihak pemaju diwajibkan membina dan menyediakan dewan komuniti serbaguna yang berkeluasan wajar dan selesa bagi penganjuran aktiviti kemasyarakatan penduduk.
  • Pihak pemaju diwajibkan membina sebuah surau yang lengkap dan kondusif bagi kemudahan ibadah harian komuniti Islam.
  • Pihak pemaju diwajibkan menyediakan ruang fasiliti khas bilik pengurusan jenazah/mayat dan upacara perkabungan bagi komuniti bukan Islam demi memelihara kebajikan, adat resam, dan keperluan semua lapisan masyarakat tanpa diskriminasi.
  • Kesemua kemudahan komuniti berkenaan hendaklah disiapkan sepenuhnya serentak dengan penyerahan kunci kediaman tanpa sebarang caj modal tambahan ke atas penduduk asal.

9. Perlindungan Hak Berkanun & Tribunal Mediasi Bebas

  • Mewajibkan Pihak Berkuasa Negeri (seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor - LPHS) menjadi penandatangan bersama dalam Perjanjian Pembangunan Semula sebagai pelindung neutral.
  • Menubuhkan Tribunal Penyelarasan URA Bebas untuk menilai dan menyelesaikan sebarang pertikaian secara adil sebelum sebarang tindakan pengambilan tanah dibuat.

PENGAKUAN & SOKONGAN PENDUDUK

Dengan menandatangani senarai borang petisyen ini:

  1. Saya/kami mengesahkan sokongan penuh terhadap 9 Tuntutan Utama di atas hanya dan khusus untuk diserahkan secara rasmi kepada YB Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
  2. SEKATAN & PENAFIAN PENYALAHGUNAAN TANDATANGAN: Tandatangan ini diberikan semata-mata sebagai platform advokasi suara penduduk kepada pihak Parlimen dan Kerajaan. Tandatangan ini BUKAN satu surat persetujuan en-bloc, perjanjian jual beli, kebenaran pembinaan, atau pelepasan hak milik tanah/strata. Tandatangan ini TIDAK BOHLEH DISEWAKAN, DIPINDAHKAN, ATAU DISALAHGUNAKAN oleh mana-mana pemaju swasta, ejen, atau pihak ketiga sebagai bukti persetujuan pemilik bagi sebarang urusan pembangunan semula.

Comments

No comments yet.

Help this petition grow

Share it with friends to help reach 50 signatures.

Your share link

Share directly