Memorandum Bantahan Terhadap MJD & Tuntutan Serta Hasrat Bekas-Bekas Peneroka / Waris FELDA Sungai Buaya
KESIMPULAN
Mengambilkira keadaan dan situasi semasa yang semakin mendesak, pihak-pihak yang menurunkan tandatangan di dalam memorandum ini, MAJORITI BEKAS-BEKAS PENEROKA ASAL YANG MASIH HIDUP DAN WARIS-WARIS SAH PENEROKA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA, dengan TEGAS serta RASA PENUH TANGGUNGJAWAB, menuntut agar pihak Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah-langkah drastik berikut demi memperbetulkan keadaan dan melindungi kepentingan 363 bekas peneroka FELDA Sungai Buaya :-
a. MELETAKKAN kepentingan 363 bekas peneroka di tahap paling atas, MENGATASI sebarang kepentingan mana-mana pihak, termasuk MJD dan RPSB. Tanah-tanah yang terlibat secara moralnya adalah hakmilik 363 bekas peneroka dan BUKAN hakmilik mutlak MJD selaku sebuah entiti ;
b. MENGHALANG MJD atau wakil yang dilantik daripada meneruskan sebarang urusniaga berkaitan tanah Sungai Buaya yang berisiko mendatangkan KERUGIAN kepada 363 bekas peneroka ;
c. MENGKAJI secara menyeluruh fungsi dan peranan MJD termasuk penglibatan pihak ketiga selaku Pemegang PA yang membelakangkan kepentingan bekas-bekas peneroka ;
d. MEMBEKUKAN sebarang urusan jualbeli yang sedang diusahakan oleh pihak MJD / RPSB, terutamanya yang melibatkan 3 blok tanah berikut :-
i. Blok 3 (HS(D) No. 13214 PT No. 10454)
ii. Blok 4 (HS(D) No. 10781 PT No. 10455)
iii. Blok 5 (HS(D) No. 10782 PT No. 10456)
e. MEMBERI LALUAN kepada satu siasatan / audit forensik ke atas syarikat MJD dan syarikat Pemegang PA, dengan penekanan khusus terhadap penjualan tanah Blok 6 dan urusniaga aset hartanah MJD di Johor ;
f. MEMBENTUK satu jawatankuasa khas (sekiranya perlu) bagi menilai semula segala isu berkaitan tanah Sungai Buaya secara telus dan TIDAK hanya mendengar pandangan / taklimat daripada sebelah pihak yang berkepentingan semata-mata ;
g. MENCARI penyelesaian isu Sungai Buaya secara menyeluruh dan TIDAK mempertimbangkan sama sekali sebarang cadangan penyelesaian yang bersifat sementara / sebahagian sahaja ;
h. MEMPERTIMBANGKAN cadangan yang diterima daripada mana-mana syarikat pemaju yang berminat untuk menyelesaikan masalah secara komprehensif ;
i. MENERIMA cadangan penyelesaian yang bersifat PENUH / KOMPREHENSIF berdasarkan baki tertunggak selama 20 tahun yang masih belum diterima oleh setiap bekas peneroka, selaras dengan rayuan bekas-bekas peneroka agar pembayaran baki tertunggak dibuat di dalam tempoh masa yang SINGKAT, BAYARAN SEKALIGUS dan TIDAK dibayar secara beransur-ansur ;
j. MEMPERTIMBANGKAN untuk dipulangkan 8 blok tanah yang telah dirampas pada tahun 2010 kepada satu entiti lain (SELAIN DARIPADA MJD) yang boleh menjamin kepentingan bekas-bekas peneroka dan diambilkira / dimasukkan ke dalam pakej penyelesaian secara keseluruhan.
Dengan itu, adalah diharapkan agar usaha mencari penyelesaian ini disokong oleh semua pihak terutamanya Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB TUAN MOHAMED AZMIN BIN HJ. ALI dan BARISAN EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR supaya episod kemelut bekas-bekas peneroka FELDA Sungai Buaya yang berlarutan selama 20 tahun ini, dapat diselesaikan dengan muktamad dan sempurna, insya Allah.
Comment